Khamis, 31 Mei 2012

Aung San Suu Kyi disambut meriah


BANGKOK: Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi mendapat sambutan meriah ketika tiba di sebuah pusat imigran Myanmar untuk melihat keadaan tempat tinggal dan tempat kerja mereka di daerah Mahachai, wilayah Samut Sakhon, Thailand, semalam.

“Saya boleh beri anda satu janji. Saya akan cuba bersungguh-sungguh untuk anda,” kata Suu Kyi sambil disorak meriah oleh beribu-ribu imigran di sebatang jalan sempit di situ. Ramai yang datang untuk melihat pemimpin itu yang tidak keluar Myanmar sejak 1988.
“Semoga anda dapat pulang ke tanah air tidak lama lagi,” katanya. Ramai imigran membawa sepanduk bergambar Suu Kyi dan slogan ‘Bebaskan Burma’ serta ‘Kami mahu pulang.’
Suu Kyi memuji semangat kental imigran berkenaan yang bekerja di sini meskipun ‘menghadapi banyak masalah’, katanya kepada wartawan selepas berucap.

Suu Kyi menamatkan rekod tidak keluar dari Myanmar dalam tempoh 24 tahun. Daripada tempoh itu, 15 tahun dihabiskan dalam tahanan rumah.

Beliau berada di Bangkok untuk lawatan pertamanya dalam tempoh lebih dua dekad sebelum melancarkan kunjungan ke negara Eropah. Beliau dijadual menghadiri Forum Ekonomi Asia Timur di Bangkok mulai hari ini hingga 1 Jun. – AFP
sumber berita harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan